KURIKULUM baru sekolah rendah yang
dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan
pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang
lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek
menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat
kenegaraan dan patriotik. KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada
murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam
persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka.
Penerapan dari peringkat awal akan
membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang
akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur. Ketua
Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak
akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan
modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan
dilatih untuk KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid
sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Pendekatan teknik pengajaran dan
pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia
melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi
guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan
matlamat kerajaan. Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah
menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009.Sebanyak 50 buah
sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah
selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih.KSSR
membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul
Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3)
akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul)
serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan
sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Sementara tahap dua sekolah rendah
(tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran
asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Selain
itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun
seluruh negara.
Pada peringkat ini pula, tumpuan akan
diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif,
sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran
4M. KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan
mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan
menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.