Matematik ialah satu bidang
ilmu yang mengkaji kuantiti, struktur, ruang dan perubahan. Ahli matematik
mencari pola[1][2], memformulasikan konjektur yang baru, dan menghasilkan fakta
dengan deduksi rapi dari aksiom dan definisi yang dipilih dengan baik[3].
Terdapat percanggahan
pendapat samada objek matematik seperti nombor wujud secara semula jadi,
ataupun hasil ciptaan manusia. Ahli matematik Benjamin Peirce menggelar
matematik sebagai "sains yang memberi kesimpulan yang sewajarnya"[4].
Albert Einstein sebaliknya menyatakan "selagi hukum matematik itu merujuk
kepada realiti, maka ia tidak pasti, dan selagi ia pasti, ia tidak merujuk
kepada realiti"[5].
Dengan penggunaan
pengabstrakan dan penaakulan logik, matematik berevolusi dari pembilangan,
pengiraan, pengukuran, dan kajian sistematik terhadap bentuk dan pergerakan
objek fizikal. Matematik gunaan telah wujud dalam aktiviti seharian manusia
sejak kewujudan rekod bertulis. Hujah yang rapi mula wujud dalam Matematik
Yunani, antara yang terkenal ialah karya Euclid, Elemen. Matematik kemudiannya
terus berkembang, contohnya di China pada kurun ke-3 sebelum masihi, di India
pada kurun pertama masihi dan di dunia Islam pada kurun ke-8 masihi, sehingga
kemunculan Zaman Pembaharuan, apabila penciptaan matematik berinteraksi dengan
penemuan saintifik yang baru, membawa kepada peningkatan yang sangat besar
dalam penemuan matematik yang kekal berterusan sehingga hari ini[6].
Matematik digunakan di
seluruh dunia sebagai alat penting di dalam pelbagai bidang, termasuklah sains
semula jadi, kejuruteraan, perubatan dan sains sosial. Matematik gunaan, satu
cabang matematik yang mengkaji aplikasi ilmu matematik ke dalam bidang lain,
memberi inspirasi dan memanfaatkan penemuan matematik yang baru dan kadangkala
menjadi pencetus kepada pembangunan disiplin matematik yang baru sepenuhnya
seperti statistik dan teori permainan. Ahli matematik juga terlibat dalam
matematik tulen, satu cabang matematik yang khusus untuk bidangnya sahaja,
tanpa aplikasi ke dalam bidang yang lain, walaupun aplikasi yang praktikal
untuk apa yang bermula sebagai matematik tulen sering ditemui.
Sumber : Wikipedia.com
0 comments:
Post a Comment